Dianggarkan seramai 18 artis Indonesia akan berada di Kuala Lumpur pada 18 Disember ini bagi menyerikan malam gala filem Syaitan Munafik yang dijadualkan berlangsung di TGV Wangsa Walk, Wangsa Maju.
Penerbitnya Datuk Mohd Rosdi Shair berkata, semua artis terdiri daripada sahabat pelakon utama, Allahyarham Ashraf Sinclair dan ada antara mereka pernah berlakon bersamanya.
“Kehadiran mereka adalah untuk menyokong rakan baik yang juga pelakon wanita utama, Dea Lestari.
“Semua artis ini akan diterbangkan dari Jakarta oleh TransNusa Air yang juga penaja rasmi penerbangan untuk acara itu,” ujarnya.
Barisan artis lain yang akan turut serta ialah Mayang Lucyana, Dafina Jamasir, Ichal Muhammad, Vanda, Hami DIA, Vinessa Ines, Derick Jordan, Lolly Ismaya, Erlina Sutansyah, Arida Nuraini, Vidya Ully dan Anissa Kayla.
Sementara itu, Dea Lestari, 36, mengakui tidak sabar menonton filem tersebut dan mahu melihat dirinya yang ketika itu berusia 21 tahun.
“Pastinya filem ditunggu-tunggu. Seingat saya, produksi sudah sangat lama dan mengalami banyak pindaan.
Sementara itu, bagi Dafina Jamasir, 33, dia bangga melihat usaha menerbitkan filem membabitkan pelakon dua negara serumpun.
“Dunia perfileman sekarang sangat jauh berkembang, apalagi dalam projek filem ini mempertemukan artis Indonesia dan Malaysia. Maka kerjasama akan terus berkembang.
Seorang lagi pelakon iaitu Derick Jordan, 22, menyifatkan, strategi pemasaran dititikberatkan demi membawa karya menembusi pasaran Indonesia.
“Selain pembabitan pelakon, promosi dan publisiti juga penting dalam menarik penonton ke pawagam.
“Ini memberi peluang kepada masyarakat penonton mengenali pelakon,” katanya.
Syaitan Munafik arahan Allahyarham Majed Saleh turut dibintangi pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Ruminah Sidek, Datuk Jalaluddin Hassan, Linda Hashim, Nabil Ahmad, Bandi Amuk, Siti Khadijah, Erin CTJ, Reedzwan dan Wom UG14.
Dibikin kira-kira 15 tahun lalu, ia bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Brunei pada 21 Disember ini. – ALE-ALE