Sejak Ahad lalu, hangat diperbualkan tentang ulasan diberikan Hetty Koes Endang atau Bunda kepada Siti Nordiana atau Nana usai penyanyi itu menyampaikan lagu nyanyian asal Datin Alyah bertajuk Kisah Hati.
Memetik komentar disuarakan Bunda pada malam final All Stars Gegar Vaganza yang lalu, nyanyian Nana jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Alyah.
Hal itu secara tidak langsung mencetuskan suasana tegang selepas ramai tidak berpuas hati dengan komen Bunda, bahkan Nana sendiri enggan perkara tersebut menjejaskan hubungan baiknya bersama Alyah.
Menerusi Instagram, Nana memohon maaf kepada Alyah sekiranya ada kekurangan ketika dia menyanyikan lagu hit milik isteri kepada Datuk Ramli MS itu.
Sejurus itu, Alyah juga dilihat memberikan respons terhadap hantaran dimuat naik Nana itu dengan memberikan kata-kata positif.
“Harus ingat ya, kita tak pernah salahkan awak langsung. Dan kita berdua tak perlu ada dalam isu ini pun,” jelas Alyah.
Rakan baik Nana itu turut tidak lupa untuk mengucapkan selamat maju jaya, di samping berpesan agar sentiasa menjaga kesihatan. – ALE-ALE