Misteri kehilangan lagu Budi dari pentas Semifinal Muzik-Muzik Ke-38 (SFMM38) baru-baru ini akhirnya terjawab apabila penyanyi dan komposer, Kmy Kmo membuka mulut.
Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, 34, berkata, dia bersama rakan komposer iaitu Luca Sickta memutuskan menarik diri selepas berbincang dengan syarikat pengurusan Universal Music Malaysia.
Jelas Kmy, ia disebabkan mereka mendapati terdapat beberapa terma dan syarat pertandingan yang dirasakan tidak adil, lantas memutuskan untuk tidak bertanding.
Dalam pada itu, Kmy menambah, keputusan itu dimuktamadkan sebaik dipersetujui oleh rakan duet mereka iaitu penyanyi Sufian Suhaimi.
“Alhamdulillah, Sufian sangat memahami tentang situasi yang dihadapi,” tambah Kmy.
Sementara itu, Sufian bagaimanapun tidak mengulas tentang kesepakatan yang dipersetujui, sebaliknya hanya berterima kasih kepada peminat atas sokongan dan undian diberikan ke atas lagu Budi.
- Untuk info, Budi merupakan lagu ciptaan Kmy dan Luca yang dinyanyikan mereka bersama Sufian diumum layak memasuki SFMM38 bersama 29 karya lain.
Sebanyak 12 lagu telah berjaya melayakkan diri pentas keramat Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) yang dijangka berlangsung pada Mac tahun hadapan. – ALE-ALE