Pemuda mualaf dari Sabah yang tular di media sosial selepas meninggalkan komen menyentuh sensitiviti Islam, Ricky Shane Ca dilaporkan telah ditahan polis pada petang Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan bahawa lelaki terbabit sudah dibawa ke balai untuk disiasat.
Terdahulu, Ricky mencetus provokasi dalam kalangan umat Islam setelah mengulas tentang isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.
“Allah di tapak kaki pun jadi isu, mentaliti sampah!” memetik tulisannya yang ditinggalkan dalam satu hantaran Facebook.
Perbuatannya itu lantas mengundang kemarahan serta kecaman umum yang mendesak agar pemuda tersebut dikenakan tindakan sewajarnya kerana didakwa menghina agama Islam.
Menyedari telah membuat kesilapan besar, Ricky tampil memohon maaf dengan memuat naik satu hantaran di akaun Facebook miliknya pada pagi Ahad.
#ALEALE: Selepas enam jam dikepung orang awam di bawah rumah, lelaki mualaf akhirnya ditahan polis.
Layari https://t.co/4JhBcjNBUn untuk artikel penuh.#alealedr #news #viral #trending #fyp #video #foryoupage #kkmart #rickyshaneca #sabahan #kalimahallah pic.twitter.com/1QuapPrkeK
— ALE-ALE (@ale_aleDR) March 17, 2024
“Saya Ricky Shane memohon ampun terhadap warga Muslim atas kesalahan yang dibuat tentang isu tular baru-baru ini.
“Seikhlas hati, saya kesal dengan perbuatan saya dan mohon semua muslim dapat memaafkan atas segala hantaran serta komen saya sebelum ini,” pintanya.
Dalam hantaran sama, Ricky turut mendedahkan bahawa dirinya sudah memeluk Islam sejak dua tahun lalu.
“Sebenarnya saya mualaf sudah dua tahun, masih banyak perlu saya belajar dan hormat terutamanya agama Islam.
“Minta agar kamu faham bahawa kita manusia biasa yang akan buat kesilapan dan saya minta ampun agar bulan Ramadan ini kita boleh bermaaf-maafan antara satu sama lain.
“Saya berjanji tidak mengulangi kesilapan besar ini dan akan bertaubat. Sekali lagi saya minta maaf kepada yang terlibat,” ujarnya.
Pun begitu, penjelasan panjang lebar yang dimuat naik Ricky diibaratkan nasi sudah menjadi bubur kerana tidak mampu lagi mengekang kemarahan warganet.
Dek kerana itu, orang awam bertindak menyerbu dan mengepung aras bawah kediaman pangsapurinya di Kota Kinabalu selama enam jam sebelum dia dibawa ke balai polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998. – ALE-ALE