
Konflik kekeluargaan dihadapi waris seniman ternama, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin yang difahamkan bermula selepas kematiannya dilihat masih berpanjangan.
Ini kerana, anak kedua arwah iaitu Hang Tuah menerusi kenyataannya dalam satu video menegaskan akan tetap mempertahankan haknya ke atas tuntutan yang difailkan sebelum ini.

Katanya, dia dan abang sulung, Jefri Jins memutuskan untuk membawa kes berhubung surat wakil kuasa ke mahkamah adalah demi memperjuangkan keadilan mereka sebagai waris sah arwah.
“Kes ini diheret ke mahkamah bukanlah disebabkan harta atau kepentingan individu, akan tetapi untuk memberi keadilan kepada semua waris keluarga arwah.

“Kami mahu agar mahkamah membatalkan surat wakil kuasa bagi penjualan tanah dan mengembalikan semula hakmilik yang dipercayai telah dijual tanpa kerelaan arwah.
“Kemudian, kami ingin memastikan kesemua harta milik arwah dibahagikan secara adil kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid,” jelas Tuah memetik pemaklumannya dalam video tersebut.
Pada masa sama, Tuah turut menjelaskan asbab dia dan Jefri memfailkan saman terhadap adik ketiga iaitu Putera Hang Jebat yang dakwanya cuba menyembunyikan fakta-fakta tentang penjualan beberapa aset milik arwah bapa mereka.
Untuk makluman, Jefri merupakan anak tunggal hasil perkahwinan pertama Jins bersama seniwati Rahmah Rahmat.
Selepas menceraikan Rahmah, Allahyarham lama menghilang dari dunia lakonan dan difahamkan dalam tempoh itu, arwah berkahwin dengan Jamilah Shukor yang merupakan ibu kandung Tuah.

Sekembalinya ke pentas seni lakon, Jins mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama Puan Sri Halijah Abdullah sebelum dikurniakan dua anak lelaki, Jebat dan Putera Hang Nadim.
Dalam tuntutan saman tersebut, Tuah bersama Jefri selaku plantif memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi dan deklarasi pembatalan surat kuasa wakil hak milik tanah pada 3 Januari 2019 di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Tuntutan saman tersebut dibuat kepada tiga defenden iaitu Jebat bersama peguamnya, Rosal Azimin Ahmad serta pemilik terkini tanah berkenaan iaitu Barakatul Kamaria Ahmad.
Menurutnya, dia mengesyaki urusan jual beli tanah terbabit menggunakan tanda tangan palsu Jins memandangkan pada tarikh itu, arwah menghidap penyakit Alzheimer (nyanyuk).
Terdahulu pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa surat wakil kuasa tersebut adalah sah, sekali gus menolak tuntutan dibuat Tuah dan Jefri. – ALE-ALE