Pihak Suria FM hari ini mendedahkan wajah baharu penyampai radio mereka iaitu Kai Hassan bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Shuib yang mengundur diri pada awal bulan ini.
Kai atau nama sebenarnya Abdul Karim Hassan, 28, ketika dihubungi berkata, dia sangat teruja untuk memulakan tugasnya di konti bersama barisan penyampai Suria FM yang lain.
“DJ Lin sendiri yang hubungi saya untuk menawarkan peluang ini dan sejujurnya pada masa itu, lidah saya kelu untuk memberikan jawapan kerana sangat terkejut,” ceritanya.
Pemuda berasal dari Kuantan, Pahang itu menambah, dia memerlukan masa kira-kira sebulan sebelum bersetuju untuk menerima menyertai keluarga baharu, Suria FM.
Berkongsi keterujaannya yang memulakan tugas hari ini, Kai akui tidak sabar untuk ke udara menerusi corong radio Suria FM buat julung kalinya.
“Ini kerana, biarpun sudah hampir lapan tahun saya bergelar penyampai radio, tetapi inilah kali pertama suara saya akan didengari oleh seluruh penduduk Semenanjung.
Tambahnya, selaku adik bongsu dalam keluarga Suria FM yang diikuti oleh penggemar-penggemar lagu era 90-an, Kai mahu pastikan pendengar-pendengar lagu generasi muda juga mendapat kepuasan.
Justeru Kai berharap, amanah yang digalasnya untuk mengangkat jenama Suria FM mendapat sokongan baik semua pihak terutama daripada pendengar setia radio dengan cogan kata Segalanya Hiburan itu. – ALE-ALE