Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, 74, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran Facebook anaknya Salmany Akir Ahmad kira-kira 6.30 pagi tadi, pelakon drama Kampung Pisang Bersiri-siri itu dimaklumkan menghembuskan nafas terakhir jam 5.57 pagi.
“Sesudah laungan azan subuh… papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi, pagi Jumaat,” tulisnya di ruangan status Facebook.
Terdahulu, bekas suami kepada dramatis Datin Fadilah Mansor itu dimasukkan ke ICU HKL akibat jangkitan kuman di paru-paru sejak 16 Jun lalu.
Fadilah dan Mat London bernikah di Narathiwat, Thailand pada 18 Oktober 1989 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Alia Farhani, 32 dan Faeesal Aswad, 29.
Selepas dirawat di wad biasa, Mat London kemudian dipindahkan ke wad pengasingan susulan keadaan kesihatan yang semakin merosot, sebelum dipindahkan ke wad ICU untuk pemantauan rapi. – ALEALE.DR