Kisah hidup pasangan pempengaruh, Aisyah Hijanah dan suaminya, Alif Teega selepas dimadukan terus menjadi perhatian ramai terutama pengikut kedua-dua personaliti itu.
Apatah lagi beberapa hari lalu, Aisyah mendedahkan, suaminya telah bersetuju untuk menyerahkan kesemua harta sepencarian selama mereka berumah tangga ke atas namanya seorang.
Meskipun dilihat reda menerima takdir hidup berpoligami, Aisyah atau nama sebenarnya Aisyah Hijanah Azahari berkata, tindakannya itu adalah sebahagian usaha untuk menuntut hak sementelah berkongsi hidup dengan Alif sejak awal perkahwinan lagi.
“Segala hasil titik peluh yang dibina dari awal bersama suami, telah dipindahkan seratus peratus kepada milik Aisyah, termasuklah syer syarikat, rumah, kereta dan beberapa aset lain.
“Lindungi hak dan usaha anda. Catat semua aset bersama dan buat satu perjanjian khas. Kalau mampu, lantik peguam, silakan.
“Pada awalnya mungkin kita akan kabur, tetapi apabila kita bertenang dan berdamai dengan takdir, kita akan nampak jalan. Jangan mengalah terlalu awal,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian tersebut,Aisyah juga menasihati wanita yang hidup berpoligami agar tidak terburu-buru membuat keputusan untuk bercerai, sebaliknya tenang mencari jalan mengharungi konflik rumah tangga itu.
“Bukan bermakna kita tamak atau gila harta, tetapi kita nak jaminan kepada diri dan anak-anak. Sentiasa minta Allah beri petunjuk dan cari jalan yang terbaik.
“You have to control your emotion and stay calm. If not, everything will ruin.
“Aisyah doakan buat semua wanita yang berdepan ujian sama, agar diberikan kekuatan serta ketenangan hidup untuk bersama suami dan anak-anak. Semoga membantu,” katanya.
Pada 23 november lalu, Aliff membuat pengakuan mengamalkan poligami dan menjelaskan berbuat demikian kerana mahu mengelakkan daripada timbulnya sebarang fitnah di kemudian hari. – ALE-ALE