Pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI 2014 (Anugerah Kajai), Wan Norhayati Wan Alias dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 6 petang semalam.
Allahyarham yang turut dikenali sebagai Wanti atau Ibu Yati itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun di Hospital Serdang akibat menghidap radang paru-paru.
Menurut wartawan Awani yang juga rakan Yati iaitu Wan Mohd Faizal, jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bintongan di Rembau, Negeri Sembilan sekitar pukul 11 malam tadi.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dalam satu kenyataan turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas wartawan jenayah Utusan Malaysia dan Berita Harian tersebut.
Setelah khidmatnya tamat di agensi media arus perdana, Wanti melaporkan untuk portal berita atas talian iaitu Media Variasi.
Allahyarham memenangi Anugerah Kajai iaitu anugerah tertinggi dalam kewartawanan Malaysia yang diberikan oleh Malaysian Press Institute (MPI).
Difahamkan sebelum ini Wanti dirawat di Hospital Putrajaya kerana kekurangan oksigen dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada April lalu.
Sejak itu, kesihatannya semakin merosot sebelum dia menerima rawatan di dua hospital iaitu Hospital Serdang dan Hospital Kajang akibat kesan Covid-19 berpanjangan. – ALEALE.DR
Sumber: AWANI