Polis mengesahkan khabar angin tentang penemuan mayat seorang wanita yang ditemukan dalam keadaan tergantung di sebuah stesen LRT Taman Sri Andalas, Klang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mayat tersebut ditemukan lengkap berkerudung (telekung) oleh seorang pengawal keselamatan.
Menurutnya, pekerja berusia 55 tahun itu sedang membuat rondaan di bangunan yang masih dalam pembinaan tersebut sebelum terkejut menemukan sekujur tubuh tidak bernyawa seakan-akan memakai telekung.
“Berdasarkan laporan, pengawal terbabit mendakwa terjumpa seorang perempuan di laluan pejalan kaki dalam keadaan gantung diri.
“Setelah pasukan paramedik tiba di lokasi kejadian, mereka mengesahkan kematian. Hasil siasatan mendapati, si mati menggunakan kain tudung untuk diikat di palang besi bumbung pejalan kaki sebelum menggantung diri,” katanya kepada pemberita.
Beliau menyatakan, si mati merupakan seorang perempuan warga tempatan berumur 47 tahun dan gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal serta pekerjaan yang tetap.
Kata Hoong Fong lagi, penemuan mayat tersebut juga diapati tidak mempunyai kaitan dengan sebarang tindakan jenayah dan mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mangsa adalah gelandangan yang tinggal stesen berkenaan. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
“Bedah siasat dijalankan di hospital itu dan pegawai perubatan forensik mengesahkan punca kematian disebabkan gantung diri dan tiada kecederaan lain,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut dinasihatkan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. – ALE-ALE