Pelawak Shuib tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah dengan dakyah sebuah organisasi tertutup dipercayai Freemason.
Katanya, fitnah dilemparkan disifatkan keterlaluan apabila turut mengaitkan banyak pihak termasuk hospital serta doktor yang merawat isterinya itu.
“Saya rasa tuduhan dan fitnah ini sangat melampau serta ekstrem kerana melibatkan arwah isteri saya, pihak hospital (HUKM) dan khasnya doktor yang terlibat.
Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, berkata demikian mengulas hantaran seorang pelayar laman sosial yang mendakwa kematian Allahyarham isterinya berkaitan dengan agenda vaksin Covid-19.
Dalam perkongsian tersebut, individu terbabit membuat tuduhan Siti Sarah dipaksa ditidurkan sebagai bukti keberkesanan vaksin, namun akhirnya meninggal dunia.
Tulis individu itu lagi, Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan kebaikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.
Berdasarkan semakan, mendapati kenyataan individu itu dibuat berpandukan sekeping foto Shuib bersama isteri baharunya, Watie yang menutup sebelah mata masing-masing sepertinya sinonim dengan organisasi ‘rahsia’ tersebut.
Lantas tindakan itu dipercayai kononnya sebahagian daripada dakyah pertubuhan dimaksudkan, sedangkan itu hanya iklan untuk sebuah kedai barang kemas. – ALEALE.DR
Sumber: KOSMO!