Pelakon veteran, Ebby Yus memaklumkan akan melakukan pemeriksaan untuk jantungnya sebelum meneruskan dengan pembedahan memasukkan bateri untuk menyokong jantungnya yang semakin lemah.
Memetik laporan media, Ebby atau Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, berkata, doktor melakukan ujian awal bagi memastikan keadaan jantungnya stabil sebelum meneruskan dengan pembedahan.
“Mereka ingin memastikan terlebih dahulu keadaan jantung saya sebelum teruskan dengan pembedahan memasukkan bateri itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ebby juga tidak menafikan keadaan jantungnya kini sedikit sebanyak turut menjejaskan aktiviti hariannya.
“Sekarang, keadaan jantung saya agak lemah. Kalau bergerak dengan laju atau melakukan aktiviti yang menggunakan tenaga, memang saya sendiri dapat rasakan kesannya.
“Misal kata saya perlu menjalani penggambaran di luar (outdoor) yang memerlukan saya untuk bergerak secara agresif, memang ada kesannya,” jelasnya.
Selain jantung, Ebby turut akan menjalani pembedahan untuk masalah matanya pada Selasa.
“Untuk mata pula, saya akan jadi pening dan berpinar kalau matahari terlalu kuat,” tambahnya.
Terkini, Ebby sedang berehat daripada penggambaran dan memberi tumpuan terhadap kesihatannya. – ALE-ALE