Vokalis kumpulan Scan, Azan Rashid mendedahkan, terdapat segelintir rakan artis yang tergamak menjahanamkan periuk nasi teman seperjuangan mereka.
Lebih 20 tahun menghambakan diri dalam dunia hiburan selaku anak seni, Azan menjelaskan, sikap sekelompok seniman muzik yang sanggup dibayar murah secara tidak langsung merosakkan industri.
“Bukan setakat dibayar dengan harga yang terlalu rendah, malah penganjur juga tidak menyediakan sebarang kemudahan lain seperti penginapan ataupun pengangkutan.
“Apabila situasi seperti ini berlaku, di mana letaknya nilai artis senior yang kononnya peminat selama ini menggelarkan orang-orang lama sebagai legenda, otai dan sebagainya?” getusnya memberikan persoalan.
Lebih menyedihkan tambah Azan, jika tawaran tersebut telah ditolak oleh Scan, untungnya penganjur tidak akan terjejas langsung.
Ini kerana menurutnya, penganjur pasti akan mencari artis lain yang secara rela hati sanggup ‘merendahkan’ diri mereka menyambut tawaran tidak masuk akal itu.
Pun begitu Azan atau nama sebenarnya Noorhazan Rashid menambah, dia pasrah mendepani situasi yang ditimbulkan, namun berharap agar harga seni mereka tidak diperlekehkan oleh warga industri sendiri.
“Kami sedar kami siapa, tak pernah sekali pun mintak harga seperti bulan dan bintang.
“Kami tahu kami bukanlah Awie mahupun Amy Search,” katanya akur.
Azan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu–lagu Guzzbuzz Productions yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Melalui kerjasama dengan Guzzbuzz Productions itu, Azan merakamkan dua single berjudul Kasih dan Selamat Hari Ulang Tahun iaitu lagu ciptaan untuk isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
Selain Azan, Guzzbuzz Productions turut memperkenalkan empat lagi penyanyi di bawah pengurusan mereka iaitu Akid Aly, General Ling, Z-Loco dan Ize Suliman. – ALE-ALE