Penyanyi, Aiman Tino mengakui masih terdapat peminat yang cuba bermesra dengannya meskipun dia kini sudah berstatus suami.
Menurut Aiman, 25, yang terkenal dengan kemesraannya bersama peminat sebelum kahwin, sikap segelintir peminat terhadapnya masih tidak berubah.
“Adakalanya saya sendiri sampai rasa tidak selesa. Jika ada peminat yang cuba terlalu rapat, isteri saya akan tegur, tetapi sebagai penyanyi saya akan cuba melayani peminat sebaik mungkin,” ujar Aiman.
Sungguhpun isterinya bersikap profesional di depan khalayak, namun sebagai suami Aiman sedar dia perlu meletakkan batas antaranya dengan peminat.
“Orang pun hormat sebab sebelah saya ada isteri. Sendirilah ingat sudah jadi suami dan ada isteri tidak boleh seperti dulu lagi,” kongsi Aiman yang ditemui pada pelancaran restoran Ngam Ngam Neighbourhood di IOI City Mall 2 Putrajaya semalam.
Dalam pada itu, Aiman yang sudah enam bulan mendirikan rumah tangga dengan Syarah Haifa, mengakui kehidupan berumah tangga cukup mencabar.
“Saya tunggu dia sejuk dahulu barulah pujuk. Sebelum ini pernah nampak ibubapa sahaja begitu, sekarang saya rasa sendiri,” kata Aiman ketawa.
Ditebak soal cahaya mata, Aiman dan isteri menyerahkan kepada takdir dan tidak tergesa-gesa untuk mengembangkan keluarga mereka.
“Walaupun keluarga saya besar dengan 11 adik-beradik, tetapi saya tidak mahu anak yang begitu ramai. Sekarang bukan mudah untuk besarkan anak dengan ekonomi yang cukup mencabar,” luah Aiman lagi. – ALE-ALE