Penyanyi terkenal Ernie Zakri bakal menyanyikan sendiri lagu Astana pada Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM 38) yang dijadualkan berlangsung esok.
Syarikat rakaman Universal Music Malaysia yang mewakili Ernie berkata, perkara itu diputuskan
selepas pihak Rocketfuel menghubungi mereka, semalam.
- BACA: [V] Ernie Zakri Nafi Dakwaan Enggan Nyanyi Lagu Astana – “Saya Tak Pernah Cakap Nak Tarik Diri…”
“Rocketfuel ada menghubungi kami untuk berbincang perkara ini.
“Berhubung terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman
Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima Berhad, pihak RIM
menyerahkan perkara ini kepada kami di Universal Music Malaysia untuk membuat keputusan.
Ditambah lagu ini sudah pun dicalonkan sejak Februari.
“Pada masa sama, kami tidak mahu isu ini terus berpanjangan dan diperdebatkan. Diharap pihak
terbabit segera mencari solusi terbaik,” katanya.
Sementara itu, Erni berkata, dia lega apabila dapat menyanyikan lagu Astana.
“Seperti yang diperkatakan sebelum ini, saya selaku penyanyi asal dan komposer lagu ini sudah tentu mahu menyanyikan lagu ini. Mana mungkin tidak.
“Jadi, selepas melalui proses perbincangan yang panjang antara semua pihak dan pihak Universal
Music Malaysia pun tidak pernah menghalang saya untuk menyanyikan lagu ini, saya dengan penuh
gembira akan menggalas sendiri tanggungjawab untuk mempersembahkan lagu Astana.
“Terima kasih sekali lagi kepada pihak Universal Music Malaysia yang sentiasa memahami dan
percaya akan bakat saya. Kepada peminat dan semua pihak yang sentiasa ambil berat, saya hargai sokongan anda,” katanya.
Terdahulu, RIM dan MPA dalam kenyataan berkata, mereka masih dalam rundingan dengan Media
Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program Muzik Muzik yang disiarkan di
TV3.
Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak
Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.
Malah, Universal Music Malaysia juga berkata, Ernie selaku artis yang kini di bawah naungan mereka cakna mengenai kenyataan RIM dan MPA mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik-Muzik yang masih dalam perundingan.
Lagu Astana adalah ciptaan bersama Ernie dengan Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman yang tercalon ke Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) ke-38 seperti yang diumumkan pada majlis sidang media yang dianjurkan oleh TV3 pada 10 Disember lalu. – ALE-ALE