Pelakon dan pengacara terkenal, Uyaina Arshad baru-baru ini berkongsi detik cemas apabila ditahan marsyal Amerika Syarikat sewaktu melaksanakan tugasan kerjanya di negara tersebut.
Cerita Uyaina, penahanannya ketika itu adalah disebabkan penampilannya yang telah disalah erti sebagai seorang wanita Arab sementelah dilihat berhijab selain keningnya yang tebal.
“Mungkin sebab saya memakai tudung tutup atas sampai bawah dan kening tebal mereka ingat saya ini berketurunan Arab.
“Apatah lagi, video penerangan saya tentang Palestin tular. Mula-mula saya ingat kena tahan disebabkan isu video terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Uyaina yang juga isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran juga terpaksa membatalkan penerbangan ke New York selepas merasakan itu bukan satu tindakan yang wajar dilakukan ketika ini.
“Saya juga sepatutnya pergi ke New York selepas Los Angeles tetapi saya batalkan. Entahlah. Ada rasa yang tidak seronok mengenai New York,” jelasnya lagi.
Uyaina dalam pada masa sama turut mendedahkan menerima pelbagai kecaman mempersoalkan keberadaan dirinya di negara pro-Israel tersebut.
“Ada yang saya sudah lengkapkan penggambaran cuma tinggal buat hantaran tetapi saya batalkan dan tanggung kerugian,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu. – ALE-ALE
Sumber: UTUSAN