Mempertaruhkan dua buah lagu pada peringkat Semifinal Muzik-Muzik Ke-38 (SFMM38) yang berlangsung baru-baru ini, Shiha Zikir sebak apabila karya etnik nyanyiannya, Kalam diumum mara ke pentas keramat Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38)
Ditemui pada acara kemuncak pengumuman 12 karya yang mara ke AJL38 baru-baru ini, Shiha meluahkan rasa syukurnya tatkala mendengar lagu Kalam nukilannya sendiri bersama komposer muda Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves berjaya lolos.
“Sekarang ni bila layak ke AJL, rasa gembira dan bersemangat memandangkan lagu ini sangat bermakna buat Shiha kerana ia sebuah lagu tradisional fusion.
“Shiha memang nak sangat lagu-lagu berentak tradisional macam ni layak ke peringkat tertinggi seperti AJL,” ulasnya.
Ditanya tentang cemuhan segelintir warganet yang melabelkan Kalam sebagai sebuah lagu sendu, Shiha bagaimanapun tenang memberikan responsnya.
Katanya, dari dulu sampai sekarang, prinsipnya sama sahaja iaitu mementingkan kualiti berbanding kuantiti.
Terdahulu, terdapat beberapa pihak mempertikaikan kemasukan Shiha ke peringkat akhir AJL38 yang disifatkan terlalu kerap sejak AJL35.
“Kali pertama sewaktu AJL35, saya masuk sebab menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu 7 Nasihat.
“Tahun lepas adalah yang kedua kalinya menerusi lagu Irama. Itupun saya cuma menang kategori Persembahan Terbaik, bukannya menang keseluruhan,” ulasnya memberi pencerahan.
Menurutnya lagi, setiap kali menghasilkan karya baharu, dia memang meletakkan AJL sebagai penanda aras dalam memastikan kesemua lagu-lagu yang dihasilkan berkualiti selain memenuhi cita rasa pendengar. – ALE-ALE
1 thought on “Dilabel Lagu Sendu, Shiha Zikir Sebak Karya Etnik, Kalam Lolos Ke Pentas AJL38 – “Saya Sebenarnya…””