Hasil autopsi, kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemukan meninggal dunia di aliran anak sungai dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya diletakkan di anak sungai terbabit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil bedah siasat pada Khamis mendapati kanak-kanak berusia enam tahun itu meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan.
- BACA: [V] Tangisan Dan Raungan Iringi Penemuan Zayn Rayyan, Mayat Ditemui Terbaring Dalam Anak Sungai
“Mengambil kira daripada hasil bedah siasat, kita merumuskan mangsa tidak mati di tempat kejadian, mungkin mati di tempat lain dan diletakkan di situ (anak sungai) … yang pasti dia (Zayn) bukan lemas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Mohd Shuhaily berkata, hasil proses bedah siasat, selain kecederaan di leher dan badan mangsa, terdapat juga kecederaan mempertahankan diri.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati aliran anak sungai itu bukan laluan kebiasaan masyarakat setempat, namun tidak menolak kemungkinan suspek memahami selok-belok lokasi kejadian terbabit.
Beliau berkata, siasatan akan diteruskan di lokasi kejadian bagi mencari bukti untuk menjejaki suspek dan setakat ini polis telah merakam keterangan daripada ibu bapa mangsa.
Beliau tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian ini melibatkan individu yang tinggal di kawasan kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kita memandang serius kes ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya bagi membantu siasatan,” kata beliau.
Mohd Shuhaily berkata, pada ketika ini, siasatan kematian Zayn konsisten kepada kes bunuh.
Selepas dilaporkan hilang tengah hari Selasa di Damansara Damai, Zayn ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran kawasan kediamannya kira-kira 10 malam Rabu.
Mayat kanak-kanak lelaki itu dijumpai kumpulan penduduk yang turut membantu operasi mencari mangsa.
Mangsa ditemukan terbaring di sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Terdahulu, ibu Zayn dilaporkan menyedari kehilangan anaknya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartmen itu kira-kira 12.30 tengah hari, sebelum kanak-kanak berkenaan dikatakan kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran Apartmen Idaman. – ALE-ALE
Sumber: MAJORITI