Tidak keterlaluan jika mengatakan ramai peminat meramalkan Liza Hanim akan bergelar juara All Stars Gegar Vaganza dalam acara kemuncak yang berlangsung Ahad lalu.
Ia rentetan persembahan mantap dipertontonkan oleh penyanyi kelahiran Klang, Selangor itu dalam ketiga-tiga segmen pada malam tersebut.
Namun hakikatnya, naib juara Gegar Vaganza musim keempat itu sekadar menduduki tangga keempat dengan kutipan markah keseluruhan berjumlah 72.34 peratus.
Liza ketika ditemui memberitahu, dia amat bersyukur sebaik mengetahui ramai yang menjangkakannya mampu menjadi juara.
“Sewaktu saya membuat keputusan menyertai pertandingan ini, memang saya sasarkan untuk ke final.
“Pada malam ini (Ahad), saya amat berpuas hati dengan apa yang telah saya sampaikan,” katanya sambil melirik senyuman.
Pemilik suara emas itu berkata demikian bagi mengulas maklum balas netizen di laman sosial yang rata-rata memilih dirinya selaku pemenang.
Sementara itu, Liza dilihat menitiskan air mata tatkala mengenangkan sokongan diberikan kepadanya yang berada selama hampir tiga puluh tahun dalam bidang seni suara tanah air.
Akuinya, dia pernah bertanya pada diri sendiri sama ada dirinya masih relevan dan diterima oleh peminat seni tempatan atau sebaliknya.
“Syukur, maklum balas yang diterima amatlah positif menerusi sokongan serta dorongan yang tidak putus-putus daripada peminat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Liza menzahirkan rasa syukur sementelah lagu nyanyiannya, Sejuta Maaf diumumkan layak ke Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38).
Justeru katanya, selepas ini dia akan mengalihkan tumpuan terhadap persaingan SFMM38 pula, selain persediaan mengadakan konsert sulung pada Februari tahun hadapan. – ALE-ALE