Memulakan karier nyanyiannya sebagai penyanyi jalanan (busker), Bob atau nama sebenarnya Mohd Aizad Rahman merencanakan sebuah konsert sempena ulang tahun ke-12 kugirannya yang dinamakan Sentuhan Band.
Konsert Ulang Tahun Ke-12 Bob & Sentuhan Band itu dijadualkan berlangsung di Panggung Asia, Gombak pada 18 November hadapan dan dijangka memakan masa selama tiga jam.
Dalam sidang media baru-baru ini, Bob menyifatkan konsert berkenaan sebagai lambang kejerihan dan pengorbanan, terutama bagi seniman yang berkarya dan berjuang di jalanan tanpa lelah.
“Ia adalah sebuah persembahan istimewa dengan pemilihan lagu, termasuk karya asal daripada album Sentuhan yang jarang didengar berkisarkan tentang Malaysia, jiwa serta persembahan jalanan seperti Aku Cinta Kamu dan Bukit Bintang.
Menjelaskan lanjut tentang persembahan Sentuhan Band kelak, Bob mengatakan mereka akan mengekalkan konsep busking, namun diacukan dengan sistem audio mengikut kesesuaian sebuah konsert.
Dianjurkan oleh RYZ Event, konsert dengan tiket serendah RM68 itu turut menampilkan bakat Singapura, Ryzal Aziz, selain penyanyi cilik, Cinta Suci Indah Urmila Zaidi yang lebih dikenali sebagai Adik Cinta.
Timeless Studio sebagai penaja bersama dan Mewah Event Management, rakan strategik.
Busking di daerah tumpuan pelancong seperti di Bukit Bintang dan berdepan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, ibarat sekolah terbaik Bob dalam mengasah suara dan petikan gitarnya, berkomunikasi dan menyanyi pelbagai bahasa, sekali gus meraih peminat, termasuk antarabangsa.
Justeru, kata anak kelahiran Pulau Pinang ini yang juga digelar Duta Kecil Pelancongan, satu segmen khas juga dirancang bagi memperdengarkan lagu-lagu pelbagai bahasa seperti hits Bollywood dan Arab yang merupakan sebahagian daripada identiti Bob & Sentuhan Band. – ALE-ALE