Di laman X, tular satu hantaran mendedahkan sikap sebenar seorang figura awam yang selama ini langsung tidak diketahui peminat, mahupun warga industri.
Hantaran tersebut dikongsikan seorang individu mengakui dirinya selaku anak kepada seorang personaliti TV terkenal, namun hidup dalam tekanan dek sikap orang tuanya yang panas baran.
Tanpa menyatakan bapa atau ibunya yang bergelar personaliti TV, individu terbabit mendedahkan bahawa artis berkenaan sebenarnya mempunyai sikap panas baran, bahkan kaki pukul.
“Aku anak artis. Dari kecil semua kenal dan tahu aku anak siapa. Ramai rasa ia sesuatu yang istimewa.
“Ya kadangkala, tetapi anda takkan pernah terfikir bahawa dia sebenarnya seorang kaki pukul!” dedah si anak menceritakan situasi dialaminya.
Menurutnya lagi, karakter personaliti berkenaan sangat berbeza ketika berada di hadapan peminatnya jika hendak dibandingkan di rumah.
“Di luar, di depan orang, peminatnya semua cakap dia baik, lembut, kelakar. Tapi dekat rumah, hanya keluarga saja yang tahu baran dia macam mana.
“Kadang-kadang terfikir, aku nak sangat semua orang tahu perangai dia yang sebenar, tetapi siapa nak percaya kalau dekat luar orang cuma nampak watak ‘personaliti TV’ dia tu?” getusnya kecewa.
Tambahnya, dia berasa sangat tertekan dengan sikap panas baran artis terbabit sehinggakan berasa trauma untuk mendirikan rumah tangga.
“Banyak masalah yang kami sekeluarga lalui, perasaan takut tak pernah jauh daripada kami. Baran dia buatkan aku jadi tak nak kahwin seumur hidup.
“Mental aku diseksa dari kecil, sakit tau! Lagi sakit sebab tak boleh nak cerita dekat orang luar. Sebab dia kan artis yang baik… padahal semua tu lakonan semata-mata,” luahnya lagi.
Susulan itu, meninjau ke ruangan komen, warganet mula berteka-teki dan membuat spekulasi masing-masing untuk mengetahui gerangan artis yang didedahkan si anak.
Pada masa sama, terdapat juga segelintir netizen menyarankan supaya dia mencari kekuatan untuk melaporkan keterlibatan si pelaku kepada pihak berkuasa, sekali gus membela nasib mereka sekeluarga. – ALE-ALE