Kegemilangan skuad Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan bola sepak ternyata sukar untuk dinafikan apabila Harimau Selatan berjaya menguasai acara itu dengan persembahan hebat.
Bukan setakat mencatat rekod cemerlang di peringkat domestik, tetapi JDT terus memastikan mereka antara sebahagian daripada pasukan bola sepak terulung rantau ini, bahkan hampir menyamai taraf skuad kebangsaan beberapa negara Asia.
Hal ini kerana, JDT dalam kedudukan yang begitu dekat untuk menjadi empat kelab terbaik Asia sekali gus melayakkan diri ke kejohanan Piala Dunia Kelab FIFA 2025.
JDT menduduki tangga ke-11 dalam ranking tersebut. Untuk rekod, Harimau Selatan hanya tiga anak tangga dipisahkan dengan kelab Cristiano Ronaldo iaitu Al-Nassr yang berada di tempat kelapan.
Selain itu, kelab Thailand, BG Pathum United menduduki tempat kesepuluh dalam ranking dikeluarkan FIFA itu.
Berada begitu dekat dengan kedudukan 10 terbaik di Asia, JDT berpeluang untuk merebut satu slot ke Piala Dunia Kelab FIFA yang akan diadakan pada 2025.
Bagi benua Asia, terdapat empat slot bakal diberikan dengan tiga daripadanya akan diisi oleh juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) dari tahun 2021 hingga 2023. Slot tersebut dinamakan sebagai Champions Pathway.
Oleh itu, Al-Hilal (Arab Saudi) dan Urawa Red Diamonds (Jepun) telah mengesahkan tempat mereka selepas menjadi juara Asia pada 2021 dan 2022.
Juara Asia untuk 2023 masih belum dapat diputuskan namun JDT tidak boleh mendapatkan slot tersebut kerana sudah tersingkir daripada saingan ACL musim ini.
Satu slot yang boleh dikejarkan oleh JDT adalah menerusi Ranking Pathway. Menerusi laluan itu, JDT perlu menjadi kelab paling progresif dalam saingan Asia walaupun tidak berhasil menjadi juara ACL.
Setiap peningkatan di Asia akan diberikan mata dan dari situ, kedudukan untuk menjadi pasukan yang layak ke Piala Dunia Kelab FIFA menerusi Ranking Pathway.
Akan tetapi, kerja keras perlu dilakukan oleh JDT kerana mereka cuma mengutip 38 mata, terikat dengan FC Daegu (Korea Selatan) dan Persipolis (Iran).
JDT perlu mengatasi kedudukan tertinggi yang kini sedang diduduki kelab Korea Selatan iaitu Jeonbuk Motors. Ketika ini, kelab itu sudah mengutip 72 mata.
Jarak yang agak jauh untuk JDT kejar namun begitu ia pasti menjadi salah satu sasaran Harimau Selatan untuk beraksi di peringkat dunia. Kalau bukan edisi 2025, mungkin pada tahun-tahun mendatang.
Melihat kepada sasaran tersebut, pastinya JDT ‘berselera’ untuk meluaskan penguasaan mereka ke peringkat dunia. – ALE-ALE