Identiti wanita yang ditikam hingga menembusi bahagian jantung pada Isnin lepas disahkan sebagai seorang penyanyi tempatan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner (ACP) Cha Hoong Fong berkata, mangsa berusia 26 tahun dikenali sebagai Xu Jia Ling, 26, seperti yang dilaporkan oleh China Press.
Hoong Fong berkata, suspek yang menagih cinta penyanyi itu sejak dua tahun lepas berasa cemburu selepas mangsa berkongsi foto bersama teman lelaki di media sosial pada Ahad.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi menambah, cemburu dipercayai menjadi motif wanita itu ditikam sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Chi Liung, Klang.
“Difahamkan berlaku pergaduhan selepas mereka makan tengah hari di sebuah restoran sebelum suspek bertindak menikam wanita berkenaan berdekatan keretanya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Semalam Hoong Fong mengesahkan bedah siasat terhadap mangsa yang dijalankan mendapati terdapat beberapa kesan tikaman di bahagian depan dan belakang badan.
Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- BACA: Pasangan Warga Emas Maut Dibunuh Anak, Baru Saja Diikat Jamin Selepas Terbabit Dengan Jenayah Lain
Beliau menyatakan, pihaknya menerima maklumat mengenai kes itu melalui aduan orang awam yang menyaksikan seorang wanita ditikam seorang lelaki di tempat kejadian.
Malah tular juga video dirakam seorang saksi yang melihat jenayah itu dari tingkat atas rumahnya yang bertindak melaporkan kejadian terbabit kepada polis menerusi panggilan telefon.
Menurut fakta kes, kejadian tersebut difahamkan berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari ketika mangsa berjumpa dengan suspek di restoran sebelum ditikam berdekatan kenderaan selepas mereka usai makan tengah hari. – ALE-ALE
Sumber: TVS