Penyanyi popular, Aina Abdul terus melakar sejarah tersendiri apabila berjaya memukau 2,000 penonton di pentas global ABU TV Song Festival 2023 anjuran Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU).
Penganjuran festival nyanyian berprestij edisi ke-12 pada kali ini dihoskan oleh stesen televisyen nasional Korean Broadcasting System (KBS) yang telah berlangsung di KBS Hall, Seoul, Korea Selatan pada Ahad.
Selain Aina, seramai 11 penyanyi tersohor dari 11 negara lain turut terlibat dan mereka ialah Tia Ray (China), Chau Kat Pui (Hong Kong), Malini Awasthi (India), Ayaka Hirahara (Jepun) dan Mamamoo (Korea Selatan).
Turut bersama, Winifai (Macau), Sheron Silva (Sri Lanka), Annamyradow Begmyrat (Turkmenistan), Umut Sülünoğlu dan Uğur Önür (Türkiye) serta Erik Lê Trung Thành (Vietnam).
- BACA: Komen Tok Ram Kepada Firdaus Rahmat Di Pentas Big Stage Buat Aina Tersentak – “Hikmahnya… IMAJI!”
“Seperti yang kita tahu, industri K-Pop mempunyai reputasi global dan digilai oleh peminat seluruh dunia. Manakala KBS pula merupakan antara platform utama yang menjadi lubuk kelahiran artis-artis ternama K-Pop.
“Mengetahui bahawa program ini turut disiarkan di saluran KBS dan persembahan saya akan ditonton oleh jutaan rakyat Korea Selatan khususnya, saya tidak dapat menggambarkan betapa bermaknanya peluang yang diberikan tersebut.
- BACA: Peminat Berbalah Mahu Gelaran Penyanyi No. 1 – “Zaman Tok Ti Dah Lepas, Sekarang Bagilah Dekat Aina”
Dalam perkembangan terbaharu, Aina baru sahaja melancarkan album sulung berjudul Imaji secara digital yang dilihat sebagai pelengkap kerjaya muziknya.
Selain itu, Aina juga bakal mengadakan konsert solo berskala besar A Night With Aina Abdul 3.0 anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Aina Abdul Entertainment (AAE) di Axiata Arena Bukit Jalil pada 18 November kelak.
Sebanyak 33 buah lagu hits bakal dipersembahkan termasuk medley bertemakan gabungan genre moden serta irama klasik yang akan diiringi oleh barisan pemuzik profesional orkestra dan band di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor iaitu Mac Chew. – ALE-ALE
1 thought on “Aina Abdul Lakar Sejarah, Pukau 2,000 Penonton Global Di ABU TV Song Festival 2023 Di Korea Selatan”