Penyanyi unggul, Aina Abdul akui, komentar maestro terkemuka tanah air, Datuk Ramli MS terhadap peserta Big Stage 2023, Firdaus Rahmat membuatkan dirinya tersentak dan tercabar yang akhirnya mendorong penghasilan album penuh sulung berjudul Imaji.
Menurut empunya nama Nurul Aina Abdul Ghani itu, dia sedar sebagai seorang penyanyi di Malaysia, menghasilkan album adalah satu keperluan untuk membina kerjaya dan tidak hanya boleh selesa dengan penampilan single semata-mata.
“Sebelum ini sewaktu program Big Stage berlangsung dan Tok Ram selaku juri jemputan, dia ada menyatakan secara sinis kepada Firdaus bahawa seorang penyanyi, sebelum sibuk nak buat konsert, kena ada album dulu.
“Jujurnya, memang saya rasa tercabar, rasa sangat kerdil ketika itu bila duduk bersebelahan dengan Tok Ram. Rasa macam nak balik terus pun ada. Kalau saya ada kuasa magis, saya nak siapkan album pada ketika itu juga dan tunjukkan padanya,” dedahnya.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya yang diberi judul Imaji di Lereng Tanah, di sini, semalam.
Tidak cuma itu, Aina juga mengakui, album Imaji dihasilkan bagi menutup mulut beberapa pihak yang sering mempersoalkan tindakannya mengadakan konsert di Axiata Arena meskipun tidak mempunyai album.
“Situasi ini menyebabkan saya turut bersedih. Kalau artis luar negara, ada yang hanya mempunyai dua lagu hit, tetapi tetap boleh lakukan konsert.
“Saya cuba bawa satu ‘movement’ di mana penyanyi generasi baru macam saya, walaupun kita tak punya banyak lagu hit, tapi boleh lakukan persembahan seperti ‘showcase’ dan sebagainya.
Dalam pada itu, berkongsi lanjut, album Imaji mengandungi 14 buah lagu hasil ciptaannya sendiri dalam genre balada, pop dan indie.
Aina pada masa sama turut mendedahkan kos pembikinan keseluruhan album Imaji dianggarkan mencecah sehingga lebih RM300,000. – ALEALE.DR
1 thought on “Komen Tok Ram Kepada Firdaus Rahmat Di Pentas Big Stage Buat Aina Tersentak – “Hikmahnya… IMAJI!””