Mendirikan rumah tangga pada 2013, penyanyi Datin Alyah Hasan menzahirkan rasa kesyukuran setelah perkahwinan bersama Datuk Ramli MS mencecah tempoh sedekad lamanya.
Alyah atau Noor Hasliah Abu Hasan, 43, memetik temu bual bersama media berkata, bergelar isteri sekali gus melayari bahtera dikemudikan maestro tersohor negara itu bagi tempoh 10 tahun bukanlah satu proses mudah.
“Saya yakin awak semua (rakan media) tahu akan sejarah saya termasuklah perjalanan karier dan juga liku ditempuhi sejak berkahwin.
“Sepanjang tempoh itu, banyak yang saya belajar dan pengalaman secara tidak langsung telah membuatkan saya hari ke hari semakin matang.
“Jadi apabila mampu bertahan selama ini, semestinya saya bersyukur dan berterima kasih atas segala-galanya yang Allah kurniakan,” luahnya.
Penyanyi Jutaan Purnama itu berkata demikian sewaktu ditemui usai tamat Majlis Pelancaran Twomee yang diadakan di Hotel Royale Chulan Mutiara Damansara baru-baru ini.
Pada masa sama, ditanya petua atau amalannya demi memastikan diri kekal anggun dan jelita biarpun usia sudah memasuki angka 40-an, tanpa berselindung Alyah terbuka bercerita tentangnya.
“Pengalaman tunaikan umrah serta melancong ke negara-negara Asia Tengah banyak memberikan saya ilmu pengetahuan mengenai penjagaan tubuh badan.
“Bila tengok wanita Arab ni lawa-lawa tak kira yang muda ataupun tua, ia mendorong saya untuk kaji gaya hidup mereka.
“Satu penyebabnya adalah kerana penggunaan safron dalam makanan dan minuman seharian masyarakat di sana,” dedahnya berkongsi fakta.
Selain rasa yang enak dan dikategorikan makanan sunah, ujar Alyah, safron turut disahkan punyai potensi tinggi dalam memelihara tubuh badan manusia daripada dihinggapi pelbagai masalah kesihatan, terutamanya mental.
Justeru, anak kelahiran Gelang Patah, Johor itu akui, dari awal berkahwin sehingga ke hari ini, safron menjadi sumber mineral asli tubuh badannya dan amat berpuas hati dengan impak positif dialami.
Malahan, mengulas pemilihannya selaku duta produk kosmetik jenama Twomee, Alyah menganggap ia adalah tanda penghargaan dan limpahan rezeki selepas konsisten mengamalkan pengambilan safron. – ALE-ALE