Papan iklan gergasi (billboard) yang terletak di tepi Lebuh Raya Persekutuan terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 tengah hari tadi.
Video insiden berhampiran susur keluar Jalan Gasing, Petaling Jaya itu sempat dirakam beberapa pengguna lebuh raya berkenaan dan tular di media sosial.
Menerusi klip tersebut, papan iklan elektronik dengan reka bentuk seakan-akan jilid buku itu terbakar di satu bahagian, manakala sebelah lagi masih sempurna.
Difahamkan, terdapat sembilan warga asing sedang bekerja memasang billboard terbabit sebelum terjadi litar pintas yang menyebabkan kebakaran berlaku.
Tiga daripada petugas selenggara di bahagian atas dan bawah papan iklan tersebut mengalami kecederaan, namun berada dalam keadaan stabil.
Kebakaran tersebut menyebabkan kesesakan teruk dari Pusat Bandaraya ke arah Petaling Jaya ekoran dua lorong terhalang bagi memberi laluan kepada jentera bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api. – ALE-ALE