Berang gambarnya dimuat naik di laman sosial TikTok dikatakan menjadi punca seorang pelajar perempuan bertindak menampar seorang pelajar lain dalam kejadian di sebuah sekolah menengah, di sini.
Tindakan pelajar perempuan berusia 17 tahun terbabit tular di media sosial hari ini, selepas rakaman video kejadian itu dikongsi seorang wanita yang mendakwa ibu mangsa.
Rakaman berdurasi 57 saat itu menunjukkan pelajar perempuan memarahi dan menampar muka mangsa beberapa kali.
Wanita menggunakan akaun Facebook Waheeda Airny Anwar itu memuat naik video berkenaan dan meminta individu yang mengenali pelajar terbabit atau ahli keluarga supaya menghubunginya.
Susulan itu, wanita terbabit memuat naik satu lagi rakaman video berdurasi dua minit 12 saat yang menunjukkan satu pertemuan diadakan bersama remaja terbabit dan remaja itu mengakui kesilapannya.
Selain itu, wanita terbabit turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini, untuk tindakan lanjut. – ALEALE.DR
Sumber: HARIAN METRO