Pempengaruh tersohor, Khairul Aming mengambil tindakan terhadap seorang peniaga gara-gara menciplak hampir 90 peratus bungkusan produk Sambal Nyet keluarannya.
Empunya nama penuh Khairul Amin Kamarulzaman itu berkata, sudah lama dia mengetahui tentang perkara tersebut, namun memilih untuk kumpulkan bukti dahulu.
“Ada lapan tuntutan yang telah disenaraikan. Jika mereka gagal penuhi kesemuanya, kita akan bawa kes ini ke peringkat seterusnya,” tulisnya.
Usahawan muda itu juga menjelaskan, sejak awal lagi dia sudah menyedari kewujudan sambal tiruan berkenaan, tetapi enggan bertindak melulu tanpa usul periksa.
“Ramai tertipu dan terpedaya dengan pembelian sambal itu kerana mereka ingatkan ia adalah yang asli. Jadi, kita beli sambal dijual peniaga terbabit sebagai bukti untuk mengenal pasti penjual berkenaan.
“Sejujurnya ini bukanlah kejadian pertama kerana pernah terjadi kira-kira tiga tahun lalu sewaktu saya mula-mula berniaga.
View this post on Instagram
“Saya yakin ramai tahu kes berkenaan. Jadi kita kena ingat, setiap tindakan pasti akan ada akibatnya dari sudut undang-undang,” katanya memetik video dimuat naik di Instagram.
Bahkan personaliti itu mendakwa, dia selalu memberi sokongan kepada peniaga kecil, malah selalu mengingatkan supaya sentiasa beretika dan berhemah.
“Jangan aniaya orang ramai macam ini,” tulisnya.
Menurut rekod, cap dagangan Sambal Nyet sudah didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan diluluskan pada 2 November 2021.
Terdahulu, tular di laman sosial mendedahkan kegiatan seorang usahawan menjual produk ciplak menggunakan jenama dan logo milik Khairul Aming. – ALE-ALE