Menjawab teka-teki pendengar tentang gerangan individu yang bakal menggalas tugas selaku penyampai, Suria FM hari ini memperkenalkan tiga wajah baharu.
Dalam majlis sidang media Ruang Udara Suria yang diadakan petang tadi, tiga penyampai tersebut ialah Datuk Fizz Fairuz, Kai Hassan dan Chiwan Cilok.
Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin ketika ditemui berkata, kemasukan barisan penyampai baharu itu sebagai langkah strategik stesen radio berkenaan agar terus relevan dalam mengharungi 2024.
“Pembaharuan ini seiring dengan keperluan semasa, di samping mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai menjelang tempoh ‘radio survey’ berlangsung yang dijadualkan bermula 18 Februari hingga 30 Mac.
“Fizz bakal ke udara menerusi segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Suraya, sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan Shuib.
“Kai juga ditugaskan mengendalikan slot Morning Morning Suria selain Carta Suria Top 40 memandangkan Suraya akan bercuti lama selepas bersalin dalam masa terdekat,” ujar DJ Lin.
DJ Lin menambah, Chiwan pula akan bertugas pada sebelah petang selaku rakan konti terbaharu Rara bagi menggantikan tempat Tyzo.
Pada masa sama beliau menjelaskan, dua lagi segmen sedia ada iaitu Gaya Suria serta Suria Cinta pula tidak ada sebarang perubahan atau pertukaran penyampai. – ALE-ALE