Gaya hidup seorang pempengaruh kecergasan yang juga atlet tinju, Krill Tereshin atau dikenali Bazooka Hands mengundang rasa risau dalam kalangan pengikutnya di sosial media.
Dia yang digelar Popeye Rusia itu menerusi perkongsian di laman sosial baru-baru ini dilihat menunjukkan otot biseps lengannya yang disuntik dengan ubat cecair jenis Synthol.
Saiz fizikal otot lengannya yang disifatkan terlalu besar dan membonjol itu sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai, malah ibunya turut merayu agar Tereshin menghentikan tabiatnya.
“la tidak normal dan tidak baik untuk kesihatannya. Dia akan alami keradangan dari semasa ke semasa.
“Bahkan tidak ada yang baik mengenainya. Sudah tentu sebagai seorang ibu, saya sangat risau,” kata ibunya.
Tereshin dikatakan mula menyuntik cecair yang mengandungi 85 peratus minyak, 7.5 peratus lidocaine dan 7.5 peratus alkohol itu sejak awal tahun ini dan obses melihat perubahan fizikalnya.
Bukan cuma di bahagian biseps sahaja, dia juga pernah menyuarakan perancangannya untuk melakukan suntikan sama pada otot lain.
Sementara itu, seorang pengikutnya berkata, perbuatan atlet terbabit tidak akan berakhir dengan baik dan lebih buruk, tangan yang kelihatan seakan-akan terkena jangkitan mungkin boleh hilang.
Pada masa sama, tabiat buruk pemuda berusia 25 tahun berkenaan pernah mendapat respons daripada seorang pakar bedah, Dr Dmitry Melkinov yang menjelaskan Tereshin berdepan risiko tinggi komplikasi penyakit.
“Bahan toksik dalam badan pada jangka panjang boleh merumitkan buah pinggang dan membawa maut,” ulasnya berkongsi rasa prihatin.
Namun Melkinov menyatakan, pakar-pakar kesihatan sentiasa bersedia memberikan rawatan terbaik dan sewajarnya untuk merawat setiap pesakit mereka. – ALE-ALE