Usaha Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk melahirkan seniman-seniman yang siap sedia bersaing dalam industri seni tanah air makin menampakan hasil setelah menanam benih selama 12 tahun penubuhan program teater di universiti berkenaan.
UPSI turut merancakkan perkembangan ini apabila dua buah pementasan di bawah Projek Akhir Teater (PenTAS) akan dipentaskan iaitu pementasan Teater Kala Malam Anjing Melolong arahan Fahim Fuad karya Adieyka Zainal dan pementasan Teater Legenda Mahsuri arahan Faizal Ruhaijat bertempat di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), UPSI. Seramai 20 orang pelajar tahun akhir akan mementaskan karya akhir isebagai syarat tamat pengajian.
“Panggung Budaya FMSP menjadi medan untuk pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda tahun akhir berekslporasi untuk bertindak sebagai pengarah, pelakon, pereka (set, props, kostum,tatarias dan tatacahaya) serta pengurusan produksi.
“Pelajar-pelajar ini dilatih agar siap menempuh saingan industri dan alam pekerjaan. Saya yakin, mereka bersedia!” kata Naque yang begitu optimis dengan hasil kerja pelajar-pelajar yang akan mementaskan dua buah teater berskala besar iaitu Kala Malam Anjing Melolong dan Teater Legenda Mahsuri.
Salah seorang pelajar yang dinilai dari aspek lakonan, Naimah Azman begitu dedikasi terhadap kraf lakonan beliau.
“Teater ini mengambil judul berdasarkan legenda dari negeri jelapang padi, saya sebagai pelakon yang akan memainkan watak Mahsuri telah ke Pulau Langkawi untuk membuat kajian lapangan.
“Sebagai seorang remaja yang lahir dan dibesarkan di bandar, saya ingin merasai suasana kampung di tempat asal watak yang saya mainkan selain melakukan observasi bagi memantapkan lakonan saya nanti,” kata Naimah.
Akui Naimah, emosinya terheret setelah membuat kajian melalui pembacaan dan temu bual terhadap kisah yang menyayat hati yang terjadi kepada Mahsuri.
Bagi Nazlieya Tohiman, PenTAS 2023 menjadi platform terbaik untuk beliau mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari sepanjang tiga tahun pengajian.
“Sebagai seorang yang terjun ke dalam jurusan seni, PenTAS Teater sudah pasti dinanti-nantikan oleh semua pelajar tahun akhir teater di FMSP. Bagi saya, ia merupakan tekanan besar namun saya seronok melakukan proses latihan.
“Saya membawakan watak seorang detaktif dalam teater Kala Malam Anjing Melolong ini. Oleh kerana itu, ianya memerlukan saya memahami perilaku seorang penyiasat.
“Ini sangat menguji saya kerana saya seorang yang jauh dengan keperibadian seorang detektif. Jadi disinilah kemampuan saya diuji dan inilah tugas dan cabaran bagi seorang pelakon pada pandangan saya,” ujarnya.
Teater Kala Malam Anjing Melolong pada 7, 8 dan 9 Julai 2023 dan pementasan Teater Legenda Mahsuri pada 14, 15 & 16 Julai 2023 bertempat di Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), UPSI. – ALEALE.DR