Dua tahun sepi tanpa sebarang single solo, pemenang terbanyak trofi Vokal Terbaik AJL menerusi empat kemenangan iaitu Hafiz Suip kini kembali merancakkan industri.
Bagaimanapun, di peringkat awal dia membuat kemunculan semula, Hafiz tampil dengan cara yang mengejutkan umum apabila keseluruhan rambutnya berwarna hijau terang.
- BACA: [V] Kejutkan Peminat Dengan Perubahan Drastik Dan Unik, Rambut Hijau Hafiz Suip Cuma Tahan Lima Hari
Pun begitu, empunya nama Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, itu punyai alasan membuat keputusan tersebut demi lagu terbaharunya yang berjudul Terus Bersinar.
“Apatah lagi dengan bantuan pelbagai platform media sosial, lagilah cepat kata-kata orang yang telah melihat saya itu tersebar.
“Dan Alhamdulillah, apa yang saya dan syarikat Nova Music rencanakan berjaya sehinggakan timbul bermacam-macam spekulasi,” akuinya.
Menurutnya lagi, dia harus bekerja keras untuk memastikan tumpuan orang ramai terhadap bakatnya yang sedikit pudar sementelah dua tahun menyepi mampu didakapi semula.
“Tapi sekarang ni saya terpaksa ikut trend, kenalah ada TikTok dan YouTube sekurang-kurangnya bagi tujuan pemasaran serta publisiti,” jelasnya.
Hafiz menambah, jikalau dia masih lagi bergantung harap dengan kaedah pemasaran konvensional sedangkan pesaing lain sudah jauh lebih maju, produk atau lagunya tidak akan dikenali.
Mengulas fasal karya Terus Bersinar terbitan Nova Music, Hafiz memberitahu bahawa liriknya berkisar tentang perjalanan anak-anak yang membesar di bawah jagaan serta bimbingan ibu bapa.
Terus Bersinar juga merupakan kerjasama sulung Hafiz dengan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito, manakala Datuk Arisz Ab Rahman selaku penulis lirik bersama. – ALE-ALE