Penyanyi bersuara lantang Liza Hanim memberi kejutan kepada para peminatnya apabila bakal muncul dengan Liza Hanim 27 Years Journey In Concert pada tahun hadapan.
Perkara tersebut diumumkannya usai tamat membuat persembahan di konsert mingguan All Stars Gegar Vaganza (GV 10) minggu keenam Ahad lalu.
Menurut pelantun Tragedi Tenda Biru itu, sudah lama dia mahu mengumumkan mengenai perkara tersebut, apatah lagi ia adalah konsert solo pertamanya, sekali gus akan membawa perjalanannya selama 27 tahun bertapak dalam industri seni suara.
“Saya sangat teruja untuk menjayakan konsert ini. Ramai yang menantikannya dan kalau boleh, saya mahu semua peminat saya hadir ke konsert itu nanti kerana ia menceritakan kisah 27 tahun bergelar anak seni,” ujarnya ketika ditemui media.
Pada masa sama, anak didik komposer tersohor Allahyarham Adnan Abu Hassan itu turut menyatakan bahawa penganjuran konsertnya kelak sudah lama dirancang.
Pun begitu, masanya belum tiba sehinggalah pengumuman itu dibuat.
“Konsert memang sudah ada dalam perancangan, tapi siapalah kita. Tapi saya lihat proses menuju ke tarikh konsert ini, perjalanannya sangat cantik, semuanya dipermudahkan. Adanya Gegar Vaganza dan sebagainya, jadi saya sangat bersyukur,” tambahnya.
Tiket-tiket berharga RM228 (CAT 3), RM288 (CAT 2), RM358 (CAT 5), RM388 (CAT 1), RM398 (CAT 4), RM8,000 (VIP BOX) dan RM189 (MEET & GREET) boleh dibeli menerusi laman sesawang www.myticketempire.com. – ALE-ALE