Gara-gara kelantangannya bersuara tentang konflik Palestin, pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-35 menerusi lagu Gila iaitu Kaka Azraff telah menjadi sasaran warganet Israel.
Masakan tidak, Kaka dengan beraninya telah memberi komen balas terhadap hantaran IG Story pelakon pro-Israel kelahiran Australia, Nathaniel Buzolic.
Memetik mesej ditinggalkannya, Kaka dengan tegas menolak Israel, di samping menyeru nama pemimpin Nazi, Adolf Hitler yang terkenal dengan pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi.
Justeru, pesanan teks kiriman Kaka berkenaan telah didedahkah oleh Buzolic berdasarkan satu syot layar yang dikongsikan melalui akaun Instagram, Jew Hate Database.
Terpukul dengan kata-kata dilemparkan penyanyi pop negara itu, penyokong tegar Israel mula ‘berkempen’ untuk menjatuhkan Kaka setelah Jew Hate Database memperkenalkannya selaku penyanyi naungan Warner Music Malaysia.
Terdahulu pada 13 Oktober lalu, label antarabangsa terbabit memuat naik hantaran Instagram yang menyatakan sokongan mereka terhadap Israel dan turut melabel Hamas sebagai pengganas.
Ini memandang, sejak semalam timbul dakwaan yang mengatakan kontrak Kaka bersama Warner Music Malaysia telah ditamatkan serta-merta. – ALE-ALE