CYBERJAYA – Pelakon veteran yang terkenal dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Sabri Yunus dan Angeline Tan kini selamat bergelar suami isteri dalam satu majlis di Perlis pada Sabtu.
Pasangan itu telah dinikahkan oleh Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Berita penyatuan dua hati antara ‘Wan Ismail Golok dan Lucy’ itu telah dimaklumkan oleh pelakon, pelawak dan penyampai radio, Issey menerusi satu hantaran di laman sosial, Instagram.
Menerusi hantaran berkenaan ia turut disertai dengan dua keping gambar yang memaparkan Sabri dan Angeline mengenakan persalinan berwarna putih.
Bercakap kepada media, Sabri berkata, mereka sudah tiga tahun merancang untuk mendirikan rumah tangga namun menunggu kesediaan Angeline untuk memeluk Islam.
“Alhamdulillah, benar kami baru sahaja bernikah sebentar tadi. Tak tahu macam mana nak cerita, tetapi kami berdua bersyukur majlis pernikahan ini dipermudahkan.
“Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.
“Tetapi saya tunggu dia untuk sedia peluk Islam. Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini,” ujarnya teruja.
Sabri dan Angeline mula berkenalan menerusi sitkom popular era 90an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menampilkan mereka sebagai Lucy dan Wan Ismail Golok.
Gambar pernikahan mereka tular di media sosial hari ini namun ada yang menganggap itu sekadar babak dalam drama atau filem baharu. – ALEALE.DR
Sumber: SINAR HARIAN