Seorang wanita baru-baru ini menerusi akaun Facebook miliknya mendedahkan telah lima tahun menjadi mangsa penganiayaan emosi oleh ibu mentuanya sendiri.
Cuma mahu dikenali sebagai Farah, ibu kepada dua cahaya mata berusia 32 tahun itu meluahkan, sudah terlalu lama dia memendam rasa kerana tidak tahu hendak diadukan kepada siapa.
“Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Izinkan saya meluah perasaan di sini.
“Nama saya Farah. Umur 32 tahun. Sudah lima tahun berkahwin dan mempunyai dua anak.
“Selepas lima bulan bernikah, saya dan suami berpindah masuk ke rumah yang telah kami beli sendiri.
“Lagipun tidak jauh dari rumah mentua, kira-kira 15 minit sahaja jaraknya,” memetik luahan hatinya yang ditulis panjang berjela.
Menurut Farah, tidak sampai sebulan dia dan suami tinggal di rumah keluarga mentua, masalah telah pun ditimbulkan oleh ibu mentuanya.
Ceritan Farah lagi, suaminya merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik yang kesemuanya lelaki.
Ketiga-tiga adik iparnya sudah bahagia menjalani hidup berkeluarga di rumah masing-masing.
Justeru tambahnya, cuma tinggal abang iparnya sahaja yang masih bujang dan menetap bersama mereka di rumah ibu mentua.
“Sejak awal perkahwinan kami lagi ibu mentua sudah menyuruh saya melayan abang ipar sama rata seperti suami sendiri.
“Maksudnya jika menyediakan makanan atau membasuh pakaian, mesti juga dibuat semua itu untuk abang ipar.
“Malah ibu mentua sempat berpesan supaya jangan ada rasa janggal duduk serumah dan anggap abang ipar sama seperti abang sendiri,” dedahnya.
Lebih mengejutkan Farah, biarpun dia dan keluarganya tinggal sendiri, ibu mentua tetap memintanya meneruskan rutin serupa kerana jarak rumah yang tidak jauh.
Setelah beberapa tahun melalui kehidupan yang tidak menyenangkan itu, isteri-isteri kepada ketiga-tiga adik iparnya juga menyuarakan hal sama.
“Ya, bukan saya seorang sahaja jadi mangsa, bahkan ketiga-tiga biras saya juga senasib rupanya.
“Bukan setakat perlu jaga makan minum, malahan pakaiannya pun diminta kami basuh dan jemurkan.
“Bayangkan terpaksa jemur seluar kecil abang ipar. Sudahlah masa itu tiada orang di rumah, ada dia seorang saja. Mujur bawa anak-anak, itupun umur mereka baru tiga dan empat tahun,” katanya lagi.
Tambah membuatkannya geram, lelaki berkenaan cukup sempurna sifat tubuh badannya, tidak ada sebarang pun kecacatan fizikal mahupun mental.
Namun malangnya, abang sulung suaminya itu tidak bekerja, lebih gemar duduk di rumah menonton televisyen dan sesekali melepak.
“Memang seperti biawak hidup. Makan pakai semuanya mentua sediakan hasil daripada duit belanja pemberian empat anak lelakinya yang lain.
“Suami pun pernah suarakan hal ini. Tetapi ibu mentua selalu merajuk dan berkecil hati jika anak sulung itu ditegur adik-adiknya.
“Siap ingatkan kami agar jaga hati abang ipar. Kata ibu, kasihan abang sebab tiada isteri, takkan adik-adik sendiri pun tak boleh tolong,” ujarnya.
Berdasarkan pendedahan Farah, suami dan adik-beradiknya pernah beberapa kali dapatkan pekerjaan untuk abang mereka, tetapi cuma bertahan selama beberapa minggu saja.
Farah juga mengandaikan, disebabkan sudah terbiasa duduk rumah tanpa terikat dengan sebarang komitmen, apatah lagi tidak pernah dipaksa ibu mentua, maka sehingga kini mereka terpaksa mengharungi konflik tersebut. – ALE-ALE