Diinspirasikan dari acara larian unik di Tokyo, Jepun, Tune Advertising membawakan kepada peminat acara larian Putrajaya Green Light Run 2023 (PGR23) pada 9 Disember 2023, bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam bertempat di Anjung Floria, Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Advertising, Muhammad Hafiz Rozlan, berkata larian ini unik kerana pelari perlu berlari mengatasi masa lampu isyarat bertukar warna hijau dan melepasinya sebelum lampu isyarat bertukar merah.
“Sekiranya gagal melepasi selepas lampu isyarat bertukar merah, pelari perlu berhenti untuk menunggu lampu isyarat bertukar hijau semula. Ia menyebabkan pelari akan berdepan kesuntukan masa untuk menamatkan acara larian.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik lain turut berlangsung antaranya Zumba bersama Nas Adila Dance Crew, pertandingan E-Sport, gerai jualan, belon panas, zon kanak-kanak serta cabutan bertuah seperti motosikal, skuter elektrik, televisyen 50 inci dan banyak lagi.
“Larian ini unik dan pertama di Malaysia, dan kami memilih Putrajaya agar masyarakat dapat menikmati suasana beridah di Putrajaya bersama keluarga dan sahabat handai,” kata Hafiz yang menganggarkan seramai 8,000 ke 10,000 pengunjung bakal memeriahkan acara ini.
Acara yang ditaja VFive Group, Gloria Jeans, 1901 HotDog dan Decathlon adalah penganjuran bersama Kelab Kita Kasih Malaysia, Persatuan Sukan Rekreasi Putrajaya dengan sokongan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Tourism Malaysia.
Acara larian ini terbuka kepada semua peringkat umur dengan bayaran masuk RM48 dan RM68 sahaja.
Peserta yang berminat untuk menyertai acara larian boleh melayari www.racexasia.com. Untuk maklumat lanjut, emel kepada sales.pgr23@gmail.com. – ALE-ALE