Memilih untuk berubah angin dalam membuat kemunculan semulanya di persada seni suara, Imran Ajmain tampil mempertaruhkan lagu rancak berjudul Padam Dan Pergi.
Tiada lagi melodi mendayu-dayu yang sebelum ini cukup sinonim menerusi seleksi lagu hitnya terdahulu, kali ini Imran nekad menyuntik kelainan apabila mengetengahkan irama pop rock.
Dihasilkannya sendiri bersama komposer baharu, Ahmadul Amin, karya tersebut terdengar sangat energetik sambil dipacu petikan gitar elektrik.
Memahami liriknya pula, penyanyi kelahiran Singapura itu dilihat cuba merungkai hubungan kompleks yang tidak sehaluan dengan cukup puitis dan ringkas, namun mampu menyentuh rasa.
Imran berkata, Padam Dan Pergi adalah pemisahan daripada gaya biasanya seperti mana dipersembahkan dalam lagu Seribu Tahun, Selamat Ulang Tahun Sayang serta Intan Dan Perak.
“Saya terdetik nak release lagu ini selepas setahun memanggung di acara indie di mana penontonnya, semua hafal dan nyanyikan apa jua lagu yang dipersembahkan atas pentas bersama-sama penyanyinya. Ini untuk mereka semua,” ujarnya.
Penerbitan single Padam dan Pergi diselaraskan secara strategik dengan pengajuran konsert mini Malam Seribu Tahun di Victoria Theatre, Singapura pada 12 Januari 2024.
Konsert terbabit juga diusahakan kelak untuk penggemar di Kuala Lumpur.
Pendengar diajak bersama dalam perjalanan mengenal pahit manis cinta, menghapuskan masa lalu dan merangkul janji masa depan lebih cerah.
Malam Seribu Tahun adalah pertunjukan pertama dalam siri persembahan artis dan band Malaysia, Singapura dan Indonesia yang digelar Satu Malam Di Singapura.
Ia dianjurkan Elmo dan Hashtag Media (Malaysia) dengan kerjasama Gumbira dan A’Art (Singapura). – ALE-ALE