Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muay Thai 2023 bertempat di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 25 dan 26 November ini bakal menyaksikan enam petinju luar negara dari benua Asia dan Eropah menyahut cabaran.
Petinju yang terlibat di dalam edisi ke-72 ini selain Malaysia adalah Itali, Laos, Indonesia, Maghribi, Afghanistan dan Thailand.
Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob, 59, berkata, penganjuran sejak 2013 itu bertujuan menaik taraf kejohanan sukan Muay Thai tempatan ke peringkat antarabangsa, selari dengan usaha mempromosikan kalendar acara Cuti-Cuti Malaysia 2023.
“Kejohanan kali ini mensasarkan lebih 5,000 penonton dari dalam dan luar negara bakal memenuhi stadium dalam dua malam perlawanan, tiket berharga RM20 untuk pembeli terawal dan RM25 untuk harga biasa dijangka habis antara 7,000 hingga 8,000 keping,” katanya.
Rosli berkata, juara kejohanan kali ini akan dipilih untuk kembali beraksi di ‘Clash of Champion’ pada November tahun depan.
Seramai 28 petinju hebat dari 14 regu bakal bertarung bagi merebut hadiah berupa 12 tali pinggang kejuaraan, dua tali pinggang juara pusingan dan piala berserta wang tunai.
Hadir sama ke sidang media tersebut ialah Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah; Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh; Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang, ahli kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur dan barisan pengamal media.
Kejohanan tersebut mendapat sokongan Tourism Malaysia sebagai penaja rasmi dan kerjasama rakan strategik seperti Yayasan Bena Nusa, MSWP, Neutrovis, minuman kesihatan Celcius Live Fit, Neutrovis, Pasaraya Borong Sakan, Sany Char Koay Teow manakala akhbar Sinar Harian sebagai media rasmi.
Selain itu, kejohanan ini juga bakal menampilkan petinju nombor satu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Rafi Abdul Manaf atau mesra dipanggil Mat Ropi dengan rekod kemenangan lebih 100 kali.
Dalam pada itu, Nik Ahmad Zahiruddin pula berkata, MSWP sebagai rakan strategik melihat ini satu tanggungjawab untuk membantu sukan Muay Thai tempatan lebih dikenali dalam kalangan peminat sukan seni bela diri.
Peminat boleh menghubungi Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur di talian 019-3253351 atau 012-7864930 untuk maklumat lanjut. – ALE-ALE