Hampir dua tahun menahan perit jerih terpaksa turun naik mahkamah rentetan saman fitnah bernilai RM2.5 juta yang dikemukakan Siti Nordiana atau Nana, akhirnya diselesaikan secara baik.
Hal ini kerana, Nana selaku plaintif dan lima sekawan terbabit bersepakat untuk bersetuju menangani permasalahan dihadapi mereka tanpa melibatkan badan pengadilan.
Sementara itu, lima sekawan berkenaan terdiri daripada Lan Solo atau nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof bersama isterinya, Nur Sheila Hassim, termasuk teman paling rapat, Syura Badron.
Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.
Semasa prosiding, peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.
Dalam prosiding itu, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, Nur Sheila dan Syura. Peguam Nur Izzaida Zaman mewakili Razidah manakala peguam Fithril Hakim Ab. Jalil mewakili Sam Musyadzahar.
Selepas pihak-pihak bersetuju, Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan kemudian merekodkan penghakiman persetujuan selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak-pihak bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah cuma merekodkan persetujuan itu.
Dalam pada itu, antara pernyataan permohonan maaf kedua-dua pihak itu ialah “Permohonan maaf ini, adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini.
- BACA: “Tak Perlulah Sampai Buat Live Nak Burukkan Kawan…” – Kes Saman Siti Nordiana Dan Lima Rakan Artis
“Dengan ini kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang,” kata pernyataan itu.
Dalam perbicaraan sebelum ini antara saksi-saksi plaintif yang telah dipanggil memberi keterangan ialah Siti Nordiana sendiri, pengurusnya, Mohamad Al Anas Osman, wartawan kanan hiburan, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin. – ALE-ALE