Baru-baru ini, pengikut setia isu sensasi dunia hiburan tanah air digemparkan dengan berita perceraian pasangan selebriti, Mawar Rashid dan suaminya, usahawan Raf Yaakob.
Belum sempat kisah itu pudar, timbul pula khabar serupa, namun kali ini ia melibatkan figura penyanyi iaitu Adira Suhaimi, yang merupakan isteri kedua kepada Datuk Red atau nama Datuk Seri Adnan Abu.
Menurut peguam syarie kepada Red iaitu Akmal Amzan, punca mendorong wanita kelahiran Sabah itu memfailkan cerai kerana tiada kesefahaman.
“Namun, anak guam saya (Datuk Red) tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat oleh isterinya kerana ingin menyelamatkan rumah tangga mereka,” katanya memetik laporan Kosmo Online di sini hari ini.
Sebutan kes yang berlangsung pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor, adalah berkenaan proses bagi melantik wakil proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan sebelum ini.
Bagaimanapun, Datuk Red selaku defendan kes berkenaan gagal membawa wakil disebabkan calon berkenaan mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.
Hakim Syarie Abdul Hadi Omar menangguhkan sebutan kes tersebut pada 18 Disember ini.
Kehadiran ibu kepada empat cahaya mata itu ditemani kakaknya Emma, selaku wakil bagi sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) susulan permohonan perceraian terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober lalu.
Permohonan tersebut diajukan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor bersandarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Tindakan tersebut sekali gus menjadi permohonan kedua Adira selepas memfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019 iaitu ketika hamil anak ketiga mereka. – ALE-ALE