Remaja lelaki yang juga cucu kepada penyanyi wanita popular era 70-an didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam atas dakwaan cuba mencabul sepupu perempuannya pada Oktober lalu.
Bagaimanapun tertuduh yang baru berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dikatakan telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang seusia dengannya di sebuah kediaman beralamat di Jalan Gasing, Petaling Jaya kira-kira jam 3 pagi pada 15 Oktober lalu (2023).
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang bawah dihukum bawah seksyen 14 Akta yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari tahun hadapan sebagai sebutan semula kes. – ALE-ALE
Sumber: KOSMO!