Membesar di perumahan berdekatan kawasan perkuburan telah memberi ilham secara tidak langsung kepada pelakon dan pengarah, Gavin Yap untuk menghasilkan filem Geng Kubur.
Malahan Gavin yang juga aktivis teater berkata, suatu ketika dahulu pernah menjadikan ‘lokasi seram’ itu sebagai tempatnya melepak bersama rakan-rakannya.
“Saya dan keluarga pernah menetap di Petaling Jaya dan kediaman kami di situ terletak berdekatan dengan tanah kubur.
“Kemudian apabila kami sekeluarga berpindah ke Damansara, kebetulan rumah yang ibu bapa saya beli pun sama, dekat dengan perkuburan.
“Bahkan, setelah orang tua saya pulang ke kampung di Pulau Pinang untuk tinggal di sana, rumah mereka juga berhampiran kawasan pusara,” dedah Gavin.
Gavin berkata demikian sewaktu hadir mempromosikan filem Geng Kubur yang diarahkannya sendiri, malah turut berperanan selaku penulis skrip nakshah berkenaan.
Mengulas tentang karya terbabit, jejaka kacukan Tionghua Mat Salih itu memberitahu, Geng Kubur sememangnya sebuah naskhah yang berkisar tentang pengalaman menakutkan dialami empat sekawan ketika berada di tanah perkuburan.
“Biarpun filem ini banyak menjadikan kubur sebagai set latar belakang, namun saya memutuskan untuk tidak menjalani penggambaran di lokasi pusara sebenar.
“Ini kerana saya tidak mahu kru atau pelakon bekerja dalam keadaan yang tidak selesa. Jadi, sewaktu membuat tinjauan lokasi di sekitar Hulu Langat, saya ternampak kawasan lapang dan terlintas untuk membina ‘props’ menyerupai tanah perkuburan,” ujarnya.
Dia berpendapat, bekerja di kawasan perkuburan buatan lebih mudah selain tidak perlu memikirkan soal terjadinya kejadian mistik.
Diterajui oleh anak Datuk Afdlin Shauki iaitu Mia Sara Shauki, karya bergenre seram itu menampilkan tiga muka baharu seperti Firdaus Sufiyan, Lion Chong dan Sasidaran sebagai tonggak utama.
Filem terbitan Iron Hill Media itu dijadualkan menjengah pawagam bermula 25 Mac (esok) di seluruh tanah air. – ALE-ALE