Peserta program realiti Squid Game: The Challenge mengancam bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbit rancangan itu dan pihak Netflix selepas mendakwa mengalami hipotermia dan kerosakan saraf semasa penggambaran.
Tindakan itu didedahkan sebuah syarikat firma guaman, Express Solicitors yang memaklumkan mereka mewakili dua peserta daripada program berkenaan.
Enggan mendedahkan nama yang diwakili, peserta itu mendakwa mereka harus membongkok dalam satu tempoh yang lama dengan suhu sejuk dan mempertaruhkan kesihatan mereka tanpa dimaklumkan sebelum penggambaran.
Dakwa peserta terbabit, kejadian itu berlaku semasa sesi rakaman permainan pembukaan bernama Lampu Merah, Lampu Hijau di mana pemain mesti mengelak daripada dilihat anak patung robot.
Ketika itu, Netflix mengesahkan tiga daripada 456 peserta menerima rawatan perubatan namun menafikan ada mana-mana peserta yang mengalami kecederaan serius.
Menurut jurucakap program Squid Game: The Challenge pula, setakat artikel ini ditulis pihaknya belum menerima apa-apa tuntutan mahkamah atau saman difailkan dari mana-mana peserta.
Namun begitu, pihaknya menegaskan sangat mengambil berat tentang kebajikan peserta semasa penggambaran.
Penggambaran dilakukan di Cardington Studios yang merupakan bekas pangkalan Tentera Udara Diraja, Britain.
Pada Februari lalu, terdapat pemeriksaan keselamatan dilakukan di set penggambaran Squid Game: The Challenge selepas terdapat insiden membabitkan perubatan dan keselamatan di sana.
Eksekutif Kesihatan dan Keselamatan Britain sebelum ini pernah mengingatkan produksi untuk merancang dengan berhati-hati program yang diinspirasikan daripada drama bersiri terkenal Korea Selatan, Squid Game itu. – ALE-ALE