CYBERJAYA – Usai beberapa hari berdiam diri, Fauziah Sarman, akhirnya memilih untuk bersuara mengenai sikap anak sulungnya. Shila Amzah selain mendakwa tidak akan memaafkan perbuatan penyanyi tersebut.
Turut menjadikan platform media sosial sebagai medium untuk mengulas perkara itu, Fauziah berkata, dia tergores hati dengan kata-kata kesat dilemparkan Shila terhadapnya hanya kerana isu mahu menjual kediaman keluarga.
Malah tambah Fauziah, dia tidak berniat menulis luahan itu kerana hanya akan dianggap mahu memenangkan adik-adik Shila.
“Allah tahu kasih sayang seorang ibu itu sama sahaja kepada setiap anak-anaknya biarpun mereka hebat, kaya, degil, nakal atau sebagainya.
“Nurshahila memang sudah menyanyi sejak usia kanak-kanak, tetapi semua atas kerelaannya sendiri, bukan paksaan.
View this post on Instagram
“Kita tiada beza, awak juga cuci kaki masuk rumah. Hati mak memang sudah dikisar halus. Mak bersuara demi maruah mak. Banyak rahsia yang mak simpan dan sorok selama ini demi namamu sebagai bintang popular,” luahnya.
Bagaimanapun, selepas memuat naik hantaran tersebut, Fauziah didapati telah memadamnya di media sosial.
Terdahulu, sejak beberapa hari lalu media sosial kecoh apabila anak bongsu Fauziah dan ND Lala iaitu Syada memuat naik status mempersoalkan rumah yang didiaminya bersama ibu mahu dijual.
Dia turut meluahkan kekecewaan apabila menyamakan situasinya seperti haiwan jalanan yang tidak mempunyai rumah.
Pergolakan keluarga itu semakin buruk apabila adik lelaki Shila, Amir Syafiq pula tampil mendakwa kakaknya bersikap biadab terhadap ibu mereka.
Bagaimanapun, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah tampil membidas kenyataan adik-adiknya dan berharap mereka menyimpan rapi urusan dalam kain. – ALEALE.DR
Sumber: UTUSAN