Dua stesen swasta popular, Era dan Suria FM bakal mencipta sejarah dalam industri penyiaran tanah air apabila segmen pagi kedua-dua radio berkenaan akan bergabung pada 23 Oktober ini.
Bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi, segmen 3 Pagi Era serta Morning Morning Suria bersama barisan penyampainya iaitu Radin, Nabil dan Azad bersama-sama Suraya, Shuib dan Ajak akan bersatu menghiburkan pendengar mereka.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin berkata, pihaknya mengalu-alukan dan menyambut baik jalinan kerjasama bersama Era, sekali gus melihat ia sebagai sejarah baharu akan tercipta dalam industri radio tempatan.
“Saya harap usaha kerjasama yang cuba dilakukan ini akan menjadi simbolik untuk memupuk ikatan silaturahim serta semangat setiakawan tinggi demi melihat industri radio terus berkembang dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kandungan Era, Hani Fadzil menjelaskan, pihaknya teruja untuk bersama-sama Suria FM dalam menjayakan cogankata Era Suria, Di Sini Segalanya Terkini yang menjadi gabungan kerjasama pertama mereka.
“Walaupun kerjasama ini membabitkan dua jenama stesen radio dari latar belakang yang berbeza buat pertama kalinya, namun kami percaya bahawa pengisian kandungan terbaik untuk pendengar adalah perkara utama.
Terdahulu, Hani dan DJ Lin hadir pada sidang media pengumuman khas Radio Tanpa Batas di Astro, Bukit Jali, di sini, hari ini.
Gandingan kerjasama antara ERA dan Suria FM ini juga bakal dicatatkan untuk pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR). – ALEALE.DR