Bakal menjayakan konsert berskala besar di pentas berprestij Istana Budaya pada 7 Oktober ini, Lah Ahmad pada sesi temu bual bersama wartawan dilihat gagal mengekang air matanya daripada tumpah sebaik terkenangkan arwah neneknya yang baru sahaja meninggal dunia.
Pun begitu, kesempatan dimilikinya untuk menguruskan jenazah dari awal sehinggalah selesai upacara pengebumian benar-benar melapangkan dadanya, apatah lagi Lah turut berpeluang mengimamkan jasad insan amat dicintainya itu.
“Saya juga kerap ke sana kerana ambil tanggungjawab sebagai seorang lelaki sekiranya mereka memerlukan. Kali terakhir bertemu dengannya adalah malam sebelum arwah meninggal dunia.
“Arwah banyak mengajar saya menjadi orang yang baik, menghafal surah al-Insyirah dan menjaga tertib dalam solat,” dedahnya.
Bercerita lanjut, Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, 43, berkata, pemergian Allahyarham Meriam Ahmad yang menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 102 tahun pada 12 September lalu sangat meninggalkan kesan terhadap dirinya sekeluarga.
“Kehilangan ini memberi kesan kepada kami semua kerana arwah adalah insan paling penting memandangkan dialah satu-satunya orang tua terakhir dalam keluarga,” katanya
Sementara itu, mengenai Konsert Jatuh Cinta, Lah berkata, dia bakal menyajikan lebih 20 lagu pada malam itu yang diiringi Orkestra Simfoni Universiti Malaya.
Lah mengakui dia cukup teruja dapat bersama Rubbertapper Production House dan bertemu peminat di gelanggang gah Istana Budaya untuk menghiburkan peminat dengan deretan lagu sendiri dan lagu saduran popular.
“Jadi, saya harap dapat memenuhi permintaan peminat yang memberikan sepenuh sokongan sepanjang karier,” katanya teruja. – ALEALE.DR