Pelakon, penyanyi dan pelawak terkenal era 1980-an, Isma Aliff ditidurkan awal pagi tadi selepas dikesan mengalami jantung bengkak akibat serangan strok ringan di bahagian kanan badan.
Khabar mengenai keadaan terkini Isma atau nama sebenarnya, Muhammad Latiff Ismail, 59, itu dimaklumkan pihak Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) melalui WhatsApp dihantar kepada media.
Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, doktor juga mengesahkan jantung Isma bengkak dan tahap oksigen beliau menurun sejak semalam.
Isma yang pernah mencipta nama menerusi filem Kembar Siam serta Marah-Marah Sayang, dimasukkan ke Hospital Ampang sejak beberapa hari lalu, selepas dia mengadu tidak sihat.
Seorang rakan baik Isma, iaitu pengarah yang juga komposer, Ebby Saiful Ali ketika dihubungi Scoop memberitahu, dia turut terkejut apabila mendapat tahu mengenai perkhabaran terkini Isma.
“Memang saya tahu dia sudah beberapa hari dimasukkan ke hospital. Malah, baru semalam saya berborak dengannya melalui panggilan video sekitar jam 9 lebih.
Menurut Ebby, dia juga terkejut apabila dimaklumkan bacaan tekanan darah Isma meningkat hingga 200 milimeter merkuri (mmHg).
“Bila dapat tahu hari ini bahawa dia ditidurkan, saya memang terkejut dan tidak sangka,” katanya.
Ebby berkata, dia akan menziarahi Isma di hospital.
“Saya juga difahamkan, Isma akan ditahan dalam beberapa hari lagi di wad sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. – ALE-ALE