Pelakon Amelia Henderson tidak perlu membayar RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn. Bhd., sebaliknya hanya menjelaskan ganti rugi nominal RM10,000 berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu.
Perkara itu ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas membenarkan rayuannya terhadap jumlah ganti rugi.
Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong turut berpuas hati bahawa pernyataan Amelia dalam laman Instagramnya tidak memfitnah A Aida Production mahupun merujuk kepada syarikat produksi itu.
“Penyataan Amelia sekadar menjelaskan bahawa skrip drama itu tidak sesuai dengan beliau selain memberi komen bahawa karektor sebagai `Aira’ akan melukakan imejnya secara keseluruhan pada mata masyarakat dan peminat-peminatnya,” ujar beliau ketika membacakan keputusannya.
Dalam prosiding itu, Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur dan Wan Nurliyana Abdul Rahman manakala peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu selaku responden.
Sebelum ini, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, memfailkan rayuan pada 18 April lalu berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat itu. – ALEALE.DR
Sumber: UTUSAN